Positivism Philosophical Theories

Positivist Antara Mysticism dan Speculative Philosophy

Penulisan “Positivist Antara Mysticism dan Speculative Philosophy” ini di ambil daripada seorang yang aktif dalam kegiatan akademik dan dakwah Islamiyah iaitu Dr Mohd Zuhdi Marzuki ketika memberi ulasan berkenaan misi Raja Bomoh mencari MH370. Isu Raja Bomoh isu lama tetapi pengajaran daripadanya wajar diambil diiktibar. Tulisan ini bukan untuk membenarkan tindakannya tetapi muhasabah untuk kita sendiri agar tidak begitu mudah memberi ulasan dan menghukum sebelum menyoal selidik.

Raja Bomoh - Positivist : Antara Mysticism dan Speculative Philosophy
Raja Bomoh menggunakan teropong buluh dan bubu mata pancing. [1]

Mohd Zuhdi Marzuki berkata :

Islam adalah begitu mementingkan dalil atau argumen untuk menentukan sesuatu. Dalil itu dibahagikan kepada dalil naqli dan dalil aqli. Berhubung dengan dalil aqli atau reasoning, ia merangkumi rasional dan empirikal. Bila perlakuan seseorang diasaskan kepada dalil aqli atau reasoning, sama ada rasional atau empirikal maka perlakuannya tidak termasuk dalam khurafat. Sebagai contoh:

  1. Sekiranya seseorang Doktor menyebut ubat ini dapat menahan diri dari sakit. Perkataan Doktor ini tidak termasuk dalam khurafat kerana secara empirikal ubat ini menjadi penyebab untuk tahan sakit.
  2. Sekiranya seseorang menyebut kamaraan haiwan-haiwan secara tiba-tiba ke tanah tinggi menunjukkan akan berlaku tsunami. Perkataan ini juga bukan khurafat kerana ada haiwan mempunyai deria yang lebih tajam dari manusia untuk mengetahui bencana jauh yang sedang datang.

Selagi ada dalil sama ada naqli atau aqli yang boleh dibuktikan maka tidak seharusnya kita menghukum perbuatan itu khurafat. Prinsip inilah yang membezakan tradisi Islam dari tradisi-tradisi sebelumnya. Islam telah menjadikan semua perkara ilmiah atau saintifik, sama perubatan, astronomi dan lain-lain.

Oleh sebab itu, saya tidak bersetuju kita terlalu cepat menghukum Raja Bomoh di KLIA baru-baru ini khurafat apa lagi syirik, hanya kerana dia menggunakan bubu, kelapa, teropong buluh dan lain-lain. Kita perlu menyelidik dahulu apa alasan rasional dan empirikal beliau menggunakannya.

Jangan disebab mereka bukan datang dari makmal atau tidak menggunakan teknologi moden, maka semua perlakuan mereka khurafat kerana tidak saintifik. Kalau mereka pakai putih makmal, bawa tabung uji atau teleskop, mungkin mereka tidak diperlekehkan seperti ini. Berlaku adillah kepada mereka.

Saya beri satu contoh, kedatangan burung gagak di sesebuah kawasan menunjukkan ada manusia mati di kawasan itu. Kalau penyataan ini tinggal tanpa alasan maka ia menjadi khurafat. Akan tetapi, bagaimana kalau satu masa nanti saintis berjaya membuktikan deria bau burung gagak dapat menghidu bau mayat manusia dari jarak 10 km, mendorong mereka untuk datang ke tempat bau itu datang?

Bagaimana pula dengan amalan pendinding rumah yang selalu dilakukan oleh pengamal perubatan Islam menabur garam dan lada hitam ke seluruh rumah, menggunakan akar berjuntai pokok ara diletakkan di bawah tilam mereka yang sukar dapat anak, mengambil herba-herba dari pokok menggunakan mulut bukan tangan dan lain-lain amalan tradisional yang diamalkan termasuk oleh Darul Syifa. Dan yang terbaru menyeluk tangan dalam mulut buaya untuk menjadikan pengamal rawatan Islam serasi menyembuhkan penyakit kulit. Kalau semua perlakuan ini diketahui oleh Barat, tidakkah ia menjadi bahan ketawa?

Positivist Antara Mysticism dan Speculative Philosophy
Positivism : The only authentic knowledge is that which is based on sense, experience and positive verification. Scientific method is the best approach to uncovering the processes by which both physical and human events occur. [2]

Mengapa masyarakat Melayu sekarang mahu menjadi seperti positivist sehingga secara total menolak mistik (mysticism) dan spekulatif (speculative philosophy). Islam mengajar kita di pertengahan tidak menolak langsung mistik dan spekulatif, serta tidak menolak langsung empirik dan logik. Kesemuanya mesti dinilai oleh dalil naqli dan dalil aqli, yang menuntut kita memeriksa dan mengkaji lalu tidak menolak bulat-bulat apa yang diwarisi secara tradisional. Mengapa kita perlu menjadi inferiority, sehingga apa yang kita warisi secara traditional kita terus menolak sebagai tidak saintifik dan merasa kagum dengan apa sahaja yang datang dari sains Barat. Dahulu kalau ada cerita orang-orang tua bahawa si anu masuk ke alam bunian selama sehari, orang sekeliling kehilangannya selama sebulan. Bila cerita-cerita ini disebut oleh orang-orang tua dulu kita ketawa dan sinis. Akan tetapi bila Albert Einstein mengemukakan Teori Relativity yang memberi contoh yang hampir sama, semua kita kagum dan ternganga?

Dalam sejarah Sains sendiri banyak idea-idea besar datang dari sumber intuisi (intuition) dan rasional (logik) bukannya semata-mata dari eksperimen makmal.

Dalam Sains sendiri telah ada satu kecenderungan baru di kalangan masyarakat saintis untuk mengkaji pengetahuan sains traditional masyarakat bukan Barat. Sekarang telah timbul bidang Ethno-Science, Sacred Scientific Knowledge, Traditional Ecological Knowledge and Local Wisdom. Pengetahuan-pengetahuan ini kadang-kadang terkandung dalam amalan traditional seperti yang dilakukan oleh Raja Bomoh ini, justeru saya menyebut jangan kita perlekehkan sebelum kita memeriksa apa hujah rasional dan empirikalnya. Saintis Barat sendiri sudah mula bercakap tentang sesuatu “beyond Physics” seperti Taoism Physics dan Ibn `Arabi Physics yang sebelumnya dikenali sebagai mistik. Silalah baca buku-buku karangan Erwin Schrödinger, Wolfgang Pauli, Fritjof Capra dan lain-lain, saudara semua akan terkejut dengan sikap ahli-ahli fizik yang lazimnya dikenali sebagai athies sebelum ini. [3]

Pelopor besar matematik Yunani ialah Phythagoras seorang yang beraliran mistik pada zamannya. Hidupnya secara mistik selalu melakukan meditasi. Menurut sejarawan, Phythagoras pernah sebut aku boleh mendengar muzik-muzik simfoni yang dikeluarkan oleh peredaran planet-planet dan bintang-bintang di atas orbitnya. Kalau kenyataan ini dikeluarkan sekarang mesti orang anggap beliau gila. Phythagoras percaya kepada kerharmonian alam semesta (harmony of the spheres). Menurut pegangan Phythagoras ini, alam dijadikan oleh Allah menurut susunan asas geometri dan angka sebab itu pergerakan planet dan bintang boleh menghasilkan muzik simfoni. Pengikut aliran Phythagoras yang mistik inilah ramai mempelopori Matematik malah dalam zaman tamadun Islam ada kumpulan yang hampir menyerupainya iaitu Ikhwan al Safa. Nasib baik Phythagoras tidak hidup di zaman ini, jika tidak dia menjadi bahan ketawa dan parodi.

Mengikut Aristotle, Phythagoras boleh berjalan merentasi ruang dan masa serta berkata-kata dengan haiwan. Memang boleh ketawa kalau klita melihat riwayat hidup Phythagoras yang mistik ini. Tetapi ramai kita yang tidak sedar sumbangan besarnya dalam Matematik termasuk Teorem Phythagoras. [4]

ps : Masalah mungkin berpunca bila upacara tersebut dikaitkan dengan keagamaan. Para doktor tidak kaitkan keyakinan mereka terhadap kesan ubat-ubatan dengan unsur ritual keagamaan.


[1] Hasniza Hussain. (2014, March 10). ‘Raja Bomoh’ turut bantu cari MH370. Retrieved June 14, 2014, from http://www.sinarharian.com.my/semasa/raja-bomoh-turut-bantu-cari-mh370-1.258857 [↩]
[2] Photo by Genis Carreras via Kevin Liew. (2012, March 16). Minimalism: Complex Philosophical Theories Through Basic Shapes. Retrieved June 14, 2014 from http://www.queness.com/post/10978/minimalism-complex-philosophical-theories-through-basic-shapes [↩]
[3] Mohd Zuhdi Marzuki. (2014, March 15). Retrieved June 14, 2014 from https://www.facebook.com/mohdzuhdi.marzuki/posts/829693677056997 [↩]
[4] Mohd Zuhdi Marzuki. (2014, March 15). Retrieved June 14, 2014 from https://www.facebook.com/mohdzuhdi.marzuki/posts/830367133656318 [↩]

5 thoughts on “Positivist Antara Mysticism dan Speculative Philosophy”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *