Gua Hira - Membaca

Membaca Demi Mencari Kebenaran

Gambar menunjukkan gunung di mana Muslim percaya Nabi Muhammad menerima wahyu pertama iaitu Surah Al-‘Alaq ayat satu hingga tiga [Sahih al-Bukhari 1:3] daripada Allah melalui Malaikat Jibril : Gua Hira.

Gua Hira - Membaca
Gua Hira

Ayat Quran pertama diturunkan bukan “Bacalah” tetapi “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk) [surah Al-‘Alaq 96:1]”. Dia perintahkan kita baca tetapi bacalah dengan nama Dia yang menciptakan kita daripada segumpal darah [surah Al-‘Alaq 96:2]. Ini bermakna kita diperintah bukan sekadar membaca tetapi membaca dengan tujuan yang akan menatijahkan sesuatu. Maka apabila kita membaca kerana Allah, kita membaca kerana mahu mendapatkan apa yang Dia perintahkan kita cari melalui baca.

Seruan membaca adalah seruan mencari. Allah menyeru kita mencari kebenaran, mengenal Tuhan yang menciptakan kerana tuhan manusia yang menciptakan adalah Tuhan yang paling mulia [surah Al-‘Alaq 96:3]. Allah menyeru kita mencari agar kita beriman dengan kefahaman bukan dengan ikut-ikutan. Allah mahu kita mencari-Nya hingga kita benar-benar menerima Allah itulah tuhan kita.

Allah memulakan seruan-Nya agar baca bukan menyembah-Nya. Malah Allah juga konsisten dengan ayat “Tuhan kamu”, Dia tidak menamakan diri-Nya dalam wahyu pertama seperti Allah, Ar-Rahman Ar-Rahim dan nama-nama lain. Allah tidak mahu memaksa kita tetapi ingin memberikan kebebasan kepada kita untuk memilih jalan kehidupan demi mencari erti hidup yang sebenar.

Walaupun Allah memerintahkan kita agar berfikir, menghayati, memerhati dan mengambil pengajaran tetapi Allah juga tidak memulakan seruan-Nya agar berfikir tentang kebenaran. Berfikir tanpa membaca tidak akan mampu menilai dan menentukan kebenaran sepenuhnya. Membaca itu input, berfikir itu proses. Bagaimana boleh berfikir tanpa ada input.

Membaca adalah keperluan bukan kemahuan. Aktiviti membaca tidak sesuai sama sekali disebut sebagai hobi seperti jeleknya menyebut makan sebagai hobi. Badan kita bukan saja perlu makan dan minum, ia juga perlu membaca untuk hidup. Orang yang tidak membaca otaknya mati, jiwanya kosong.

Bacalah kerana Allah Subhanahu Wa Taala. Apabila kita membaca kerana Allah, kita membaca demi mencari kebenaran kerana fitrah diri mahu bertemu dengan kebenaran. Kita membaca kerana mahu mengenal Dia Yang Menciptakan, mengenal diri sendiri yang diciptakan, dan mengenal kehidupan untuk mencapai tujuan diciptakan.

Membacalah dengan nama tuhan yang menciptakan.

Membacalah demi sebuah pencarian, mencari kebenaran.


[1] Photo credit : Sacred Caravan 2015

One thought on “Membaca Demi Mencari Kebenaran”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *