Keutamaan Membaca Karya dalam Bahasa Asal

Keutamaan Membaca Karya dalam Bahasa Asal

Dalam pembacaan dan pengkajian di bidang masing-masing yang semakin rancak, penyuburan dunia ilmu yang semakin mekar, dan pelbagai kepelikan berhujah dengan menggunakan bahan terjemahan sebagai sumber primer, kata-kata didalam artikel ini harapnya dapat menginsafkan kita berkenaan keutamaan membaca karya dalam bahasa asal sebagai ahli ilmu.

Eekmal Ahmad berkata : [2]

Saya penterjemah. Saya sedar ada perbezaan antara terjemahan dengan karya asal. Karya terjemahan sekadar pintu pemahaman. Karya asal adalah gedungnya. Saya bukan ahli dalam kajian Quran atau Hadis atau Bahasa Arab. Namun, misalnya bila saya nak terjemah Ethics nya Spinoza ke Bahasa Melayu baru saya sedar tak boleh terjemah dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Kena rujuk karya Spinoza dalam Bahasa Latin.

Begitu juga apabila saya asyik membaca Symposium oleh Plato. Terjemahan Seth Bernadette dianggap terbaik, namun sarjana klasikal dan filsafat politik sedar untuk menggali kefahaman yang lebih dalam harus mahir Bahasa Greek Kuno.

Misalnya dalam Symposium ada perkataan Greek Kuno; Kalos/Kolos. Di terjemahkan ke Bahasa Inggeris sebagai Beauty. Namun bila kita baca lebih terperinci Kalos itu lebih dekat dengan perkataan dan makna Ihsan yang sering diungkapkan ulama sufi.

Satu lagi misal adalah dari Romeo & Juliet. Ayat “O Romeo, Romeo! wherefore art thou Romeo? Deny thy father and refuse thy name.” Sekali baca terutama orang kampung Alor Setar macam saya akan ingat Juliet tanya Hang kat mana Romeo oiii .. Tapi rupanya menurut disiplin ilmu sastera Inggeris itu adalah luahan Juliet : “Kenapa kau Romeo dari keluarga Montaigne, keluarga yang bermusuhan dengan keluarga Juliet.”

Wan Ji At-ta’aduddi berkata : [2]

Untuk nak kenal islam, tidak semestinya menggunakan bahasa arab. Namun, untuk nak mengetahui pendalilan menerusi nas, perlu memahami bahasa arab. Untuk mengetahui tentang al-Quran, perlu dalam bahasa arab, kerana kefahaman dari terjemahan tidak setepat pemahaman dalam bahasa asal.

Memahami al-Quran dengan terjemahan, tidak melayakkan untuk membuat dalil.

Contoh dalam salah satu ayat dalam al-Quran; fa basshirhum bi azabin alim. Dalam terjemahan, khabarkan kepada mereka dengan azab yang pedih.

Tetapi bagi orang yang faham bahasa arab, difahami bahawa ia mengandungi balaghah. Iaitu ada elemen menyindir, iaitu berilah khabar gembira dengan azab yang pedih.

Hasrizal Abdul Jamil berkata : [3]

Sebarang teks yang hendak dilakukan kajian kualitatif ke atasnya mewajibkan sang pengkaji menggunakan ilmu-ilmu alat.

Bagaimanakah seseorang mengupas teks ucapan Jean-Jacques Rousseau dalam Social Contract beliau tanpa menguasai Bahasa Perancis? Ia bukanlah syarat yang tujuannya adalah untuk show off otoriti Bahasa Perancis, tetapi ia adalah sebab yang sangat rasional bahawa mustahil ucapan Jean-Jacques Rousseau boleh ditafsir oleh seseorang yang tidak meraikan asas bahasa Perancis, iaitu bahasa yang merekodkan karya tersebut. Apatah lagi dengan mengabaikan falsafah state of nature dalam mengupasnya.

Muhamad Rozaimi berkata : [3]

Saya juga mendapati saudara Farouk mempuyai kecenderungan untuk mengabaikan ilmu alat yang menjadi pre-requisite kepada ilmu-ilmu tertentu. al-Quran dan hadis itu berbahasa arab. Untuk mendalami makna sebenar kita perlu mendalami bahasa arab. Ini penting supaya kita tidak menterjemahkan perkataan “يوطئن” yang bermaksud membenarkan masuk rumah kepada bersetubuh seperti yang dilakukan oleh Kassim Ahmad. Saya melihat saudara Farouk juga banyak merujuk kepada kitab edisi terjemahan.

Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi berkata : [4]

Belajar bahasa Arab adalah untuk faham al-Quran dan al-Hadith serta kitab-kitab muktabar karangan para ulama Muslim, kerana dengan memahami dalam bahasa asal sumber ilmu akan mendekatkan kita kepada kefahaman yang terbaik (semoga dijauhkan dari kesalahfahaman), kerana dengan memahami dan merasai sendiri nikmat dan i`jaz bahasa al-Quran dan al-Hadith itu, insya-Allah hadir lebih kefahaman dalam jiwa dan aqal seterusnya menuntun diri insan agar lebih bertaqwa kepada Rabbul Jalil.

Tambahan daripada Naziman :

Buku yang telah diterjemahkan bukan lagi sumber primer sebagai sumber rujukan kerana telah menjadi sumber sekunder atau tertier bagi kita. Ia mungkin terdedah kepada makna dan maksud yang kurang tepat. Secara ringkasnya setiap bahan yang diterjemah akan berkurangan kualiti ilmunya kerana beberapa faktor seperti perbezaan makna atau jenayah ilmu.

Jenayah ilmu bukan sahaja berlaku pada bahan diterjemah malah setiap cetakan tahun, penerbit dan tempat pun berkemungkinan adanya kelainan antara satu sama lain. Mungkin perbezaan kecil tetapi impaknya besar. Contohnya ada cetakan kitab Imam al-Bukhari meletakkan lafaz Alaihissalam kepada ahlul bait. [5]

Sebagai seorang muslim pula khususnya manusia yang banyak berfikir dan soalan, bahasa Arab sangat penting dipelajari agar tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Jika tidak tahu bahasa Arab, ertinya tidak tahu ‘bahasa Allah’. Bergantung kepada terjemahan sahaja, dengan sendirinya hilang kelayakan sarjana bagi seorang pengkaji, penyoal. [6]

Misalnya 6 hari adalah sebutan yang bergantung kepada terjemahan al-Quran. Sedangkan di dalam bahasa asal al-Quran, sebutannya ialah sittah ayyaam. Perkataan ayyaam di dalam Bahasa Arab, tidak terikat hanya kepada apa yang diterjemahkan sebagai HARI iaitu himpunan satu unit masa yang terbentuk dari 24 jam. Kalimah ayyaam boleh diertikan sebagai ‘peringkat ‘atau ‘marhalah’… Justeru keterangan al-Quran tentang cara Allah mencipta bumi, tidak harus difahami dengan hanya bergantung kepada terjemahan, sebaliknya harus kembali kepada Bahasa Arab. Adakah sittah ayyam itu enam hari, enam marhalah (stages) atau enam apa?

Sudikah belajar Bahasa Arab supaya ada bekal berfikir ketika timbul soalan-soalan agama? Menyoal pelbagai isu tentang al-Quran tetapi tiada kesudian untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan asas untuk berinteraksi dengan al-Quran. Bahasa Arabnya, asbab al-nuzul, ghara’ib lafaznya, nasakh mansukhnya, sudikah manusia yang banyak berfikir ini belajar? [7]

Kualiti ilmu sangat penting dalam kajian dan bahasa adalah pintu ilmu. Tidak amanah meninggalkan rujukan yang penting bagi satu-satu kajian, hanya kerana ia di dalam bahasa yang kita tidak tahu. [8] Jangan cepat membuat kesimpulan terutamanya jika jahil Bahasa Arab, mesti belajar merendah diri, bukan kepada pakar Bahasa Arab tetapi kepada Allah. [9]

Sebaiknya saranan Yusuf al-Qaradhawi pada tahun 1978 melalui bukunya Tsaqafah al-Da’iyah kita ambil secara serius. Al-Qaradhawi menyenaraikan 6 kategori ilmu yang mesti dikuasai oleh para pendakwah agar mereka dapat berfungsi dengan baik di medan. Bahasa dan kesusasteraan adalah salah satu ilmu yang mesti dikuasi.

6 kategori ilmu itu ialah:

  1. Ilmu-ilmu Islam : Al-Quran, al-Sunnah, Fiqh, Usul Fiqh, Tasawwuf dan sistem-sistem Islam.
  2. Ilmu Sejarah
  3. Ilmu Kemanusiaan: Psikologi, Sosiologi, Ekonomi, Falsafah, Etika dan Sejarah (diasingkan dalam satu bab khas).
  4. Ilmu Kesusasteraan dan Bahasa
  5. Ilmu Sains
  6. Ilmu Kajian Semasa (Current Affairs) [10]

[1] http://ultimatesammy.wordpress.com/2013/06/25/manfaat-dari-kegiatan-membaca/

[2] https://www.facebook.com/wanji.attaaduddi/posts/865251880167657

[3] https://www.facebook.com/notes/muhamad-rozaimi/kritikan-kepada-metodologi-quranis-farouk-a-peru-dan-jawapan-kepada-kekeliruan-y/636853533051023

[4] https://www.facebook.com/ZahiruddinZabidi/posts/782669001752746

[5]

QA Maulana Asri Yusoff : Mengapa Imam al-Bukhari Memilih Lafaz “Alaihissalam” Kepada Ahlul Bait ?

[6] https://twitter.com/muarrikhun/status/436897062689705984

[7] http://saifulislam.com/2013/07/pelajar-mesti-seorang-pemikir/

[8] https://twitter.com/muarrikhun/status/375247224361324544

[9] https://twitter.com/muarrikhun/status/436896592747311104

[10] http://saifulislam.com/2014/02/anti-hadith-loceng-amaran-kepada-ummah-pengabai-ilmu/

Add Comment Register



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>