Love cinta - Jujurlah dalam mencintai

Jujurlah dalam Mencintai

Kasih aku hanyalah untukmu
Tiada lain dalam diriku
Takkan berubah
walau dipisah laut biru

Cinta aku hanyalah untukmu
Tak pernah goyah
Tak pernah jemu
Takkan terpadam dalam hatiku
Ia milikmu.. percayalah

– Lara Lagi, Adira

Mampukah kita menyanyikan rangkap lagu ini kepada Allah dan RasulNya tanpa menipu diri sendiri?
Mampukah kita menyanyikan rangkap lagu ini kepada Allah dan RasulNya melebihi yang lain-lain di dunia ini?
Mampukah kita menyanyikan rangkap lagu ini kepada Allah dan RasulNya dan membuktikan kata-kata tersebut dengan perbuatan kita?

Istilah cinta sangat abstrak maknanya namun cinta itu adalah perasaan. Maka perasaan cinta itu perlu dimanifestasikan kepada yang dicintai kerana ianya berada di dalam hati. Yang dicintai takkan tahu jika yang mencintai tidak tunjukkan cintanya. Namun cara kita manifestasikan cinta tidak sama antara satu sama lain. Takkan sama cara kita mencintai kawan-kawan dengan keluarga, takkan sama cara kita mencintai manusia dengan binatang.

Cinta juga bukanlah satu makna mengikut kriteria dan jiwa si pencinta, seharusnya cinta itu mengikut makna dan yang diharapkan oleh yang dicintai. Walaupun seluruh dunia termasuk kita sendiri mempunyai kriteria cinta sama tetapi cinta itu tidak sempurna jika tidak mengikut makna yang dicintai. Contohnya apabila yang dicintai suka dihubungi selalu tetapi kita mungkin sengaja tidak menghubungi kerana beranggapan agar hadirnya rindu, itu menunjukkan adanya kecacatan dalam mencintai.

Cinta kepada Allah dan RasulNya perlu dua intipati iaitu Ikhlas dan Ittiba. Ikhlas hanya kepada Allah semata-mata dan bebas daripada syirik besar dan syirik kecil. Ittiba manifestasikan cinta sesuai dengan Al-Quran dan Hadith. Kedua-dua intipati ini perlu berganding bersama tanpa ada kekurangan salah satu. Jika mengikut kita, memang banyak cara untuk kita tunjukkan cinta kepada Allah dan RasulNya tetapi persoalannya apa yang Allah dan RasulNya mahu daripada kita.

Kita juga selalu mendakwa cinta Allah tetapi badan kita tidak seiring dengan lidah. Lidah kita lebih pantas menuturkan kata-kata indah tetapi hati kosong daripada makna dan badan kekal kaku dilihat hanya mulut yang bergerak. Ingatlah, jika manusia mampu meletakkan “LOL” tanpa ketawa malah tanpa senyuman, apatah lagi perkataan cinta yang semakin dinodai kesucian maknanya. Jujurlah dalam mencintai.


[1] Photo Credit : ∞ Love via Flickr under a standard Creative Commons License – Attribution 2.0 Generic

4 thoughts on “Jujurlah dalam Mencintai”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *